Pemenang ABPBH dedikasi anugerah untuk Din Beramboi

by - April 05, 2010

Pemenang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang berlangsung dalam suasana cukup meriah di Arena All Stars, Genting Highlands, di sini, malam tadi, mendedikasikan kemenangan mereka kepada penyampai radio dan pelawak terkenal, Din Beramboi, yang meninggal dunia Jumaat lalu. 

Pemenang kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Aznil Nawawi, sebak ketika menerima trofi ketujuhnya ketika beliau mendedikasikan kemenangan itu untuk rakan setugasnya di segmen Riuh Pagi di saluran Era.


"Arwah selalu bergurau dengan saya, katanya saya sudah selalu menang ABPBH, kali ini dia pula yang ingin naik pentas menerima trofi.

"Din memang begitu teruja untuk menghadiri ABPBH 2009 kerana inilah kali pertama dia dicalonkan ke peringkat akhir. Malah, dia pernah memberitahu saya yang dia sudah beberapa kali menukar kostum untuk digayakan ke acara ini," kata Aznil. 

Pemenang Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal Ismail dari Hot FM pula menganggap Din sebagai antara sumber inspirasinya untuk menjadi penyampai yang benar-benar menghiburkan pendengar. 


"Din bukan saja penyampai radio yang baik, malah dia juga seorang pelakon, pengacara dan pelukis kartun berbakat. Pemergiannya kehilangan besar untuk industri seni," ujar Faizal yang menggenggam trofi berkenaan buat kali ketiga. 


Faizal turut memberitahu, kejayaan pada ABPBH menjadi pembakar semangat untuknya menjadi penyampai radio yang lebih baik lagi, bagi membalas kepercayaan diberikan peminat. 
Sementara itu, pemenang dua trofi iaitu bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, Fara Fauzana, menganggap kemenangannya sebagai petanda peminat lebih inginkan gaya penyampaian dan persembahan terkini daripadanya. 


"Seboleh-bolehnya Fara sendiri mahu mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini Fara di mana saja Fara berada, katanya.


-Credit to BHon9-

You May Also Like

2 7 Comments